Tuesday, 30 June 2015

harapan ibu, dan doa lekas mati

(i)

seorang ibu sedang membersihkan najis anaknya, bau hancing, pesing dan busuk yang telah biasa di hidung dibiar begitu sahaja, tiada gerak-geri kekok, atau paras rupa yang dipaksa-paksa ikhlas. sebentar lagi dia dia akan menggoncangkan susu untuk anaknya itu. telinga perempuan tersebut sudah biasa dengan rengek dan tangis anaknya. dalam hatinya, cepat-cepatlah anak ini besar agar dia boleh mandi, makan, membersihkan najis sendiri. membesar dengan penuh tanggungjawab dan mandiri. itu harapan ibunya.

(ii)

seorang anak sedang membersihkan najis ibunya, bau hancing, pesing dan busuk yang belum biasa di hidung tidak dibiar begitu sahaja. hidungnya ditutup dengan tangan kiri sedang tangan kanannya sedang keras bekerja. ada gerak-geri kekok dan riak muka yang dipaksa-paksa ikhlas jelas terlukis. sebentar lagi dia akan menggoncangkan susu untuk ibunya itu. telinganya belum biasa dengan rengek dan tangis ibunya, bunyinya sahaja sudah menjengkelkan hati. yalah, sudah tua tapi tidak pandai membersihkan diri. dalam hatinya, cepat-cepatlah ibunya itu mati. tidak lagi menyusahkan hidupnya.

(iii)

dia bubuh racun ke dalam susu ibunya.

No comments: