Sunday, 26 July 2015

Ada Yang Tak Kena Dengan Demokrasi

Selekuk keris tertusuk pada ringgit dan perut rakyat,
merah putih Pekembar
terus berkibar.
Media dibisukan kerana miskin dan benar;
diizikan bersuara kalau punya uang,
dan sanggup setuju pada korupsi.
bagai pendatang di negeri sendiri;
ada yang tak kena dengan demokrasi.

Suatu Petang yang Terik

kita pun berpeluk
di antara kau dan aku
kedua-duanya bisu;
hanya air mata berbahasa pilu.

jarak dan marah yang telah bersisik
dikikis, daki-daki dendam dan dosa
larut dalam air mata dan jatuh di lereng lehermu.

di daun telingamu kubisikkan ampun
di lubang hatimu kutampalkan maaf.

engkau pun melepaskan pelukanku,
mengasing dosaku ke bahu waktu.

Monday, 6 July 2015

Too Many Friends // Placebo

"My computer thinks I'm gay
What's the difference anyway
When all the people do all day
Is stare into a phone"

Faedahnya bila saya mendalami lagu ini, saya mulai sedar tindakan seharian kita yang membabitkan teknologi dan sains; ternyata membawa kesan buruk dalam komunikasi antara individu dalam dunia sebenar. Padahal tujuan komunikasi melalui sains dan teknologi adalah tak lain tak bukan bertukar maklumat atau berita dalam cara yang paling mudah. "Maklumat Di Hujung Jari" pernah ditiupkan ke dalam saraf-saraf rakyat Malaysia pada suatu ketika dahulu. Di sekolah, kelas-kelas komputer mula diwujudkan supaya generasi akan datang tidak buta IT. Kesan buruk terhadap kemajuan sains dan teknologi yang terlalu pantas telah menjadikan manusia mulai renggang dengan orang di sekeliling. Lagi-lagi kalau kumpulan itu dipecahkan ke adik-beradik, ibu bapa, teman-teman, jiran-jiran ataupun rakan sekerja mahupun rakan seuniversiti. Keadaan ini amat memilukan bila kita cuba merapatkan hubungan yang jauh, tapi dalam masa yang sama hubungan antara orang di sekeliling dizalimi. 

Kalau kita lihat, saban hari, apa yang lalu-lalang di media sosial, hanyalah masalah perhubungan yang kelihatannya terlalu remeh untuk diselesaikan di laman sosial. Justeru itu kesan yang kita lihat nanti tidak langsung membawa penyelesaian. Blog-blog gossip khususnya menjadi batu api dalam penyebaran-penyebaran  video, status, tweet yang berpotensi untuk jadi viral. Hamba gossip pun bertindak, menjalankan tugas mereka. Mereka kongsi. Kita pun telah maklum, perkongsian di laman sosial bukanlah perkara yang susah. Cuma klik, maka berita itu akan tersebar, bagai fitnah dan virus. 

Orang lebih selesa berbincang atau menyelesaikan masalah peribadi di lapangan internet yang ternyata cuma maya semata-mata. 

Komputer penulis merasakan penulis mempunyai orientasi seks yang songsang. Penulis menegaskan bahawa dia tak ada beza dengan orang lain yang setiap hari menjadikan telefon pintar teman paling rapat menggantikan buku, majalah, ataupun hobi-hobi eksotik seperti mengumpul setem, memasak dan menjahit.

"I got too many friends
Too many people that I'll never meet
And I'll never be there for
I'll never be there for
'Cause I'll never be there"

Bunyinya seperti penulis menyatakan dirinya agak terkenal di dunia maya, hakikatnya dia kesunyian, tak punya (ramai) kawan di dunia sebenar-- dunia yang kakinya memijak bumi dan kepalanya menjunjung langit. Sesetengah orang tak teruja untuk bergambar atau meminta tanda tangan orang-orang yang terkenal di laman sosial seperti Twitter dan Instagram khususnya. Ada individu yang terkenal di dunia maya, di dunia sebenar dia loser. Mereka di luar orang yang sunyi. Teman mereka cuma smart phone. Itulah nadi kehidupan mereka. Kesan individu sebegini melahirkan gelaran-gelaran seperti 'Tweetfamous" dan "Instafamous". 

Suatu hari saya melihat sepasang kekasih sedang bercinta di dalam LRT. Bahu si lelaki diisi ingatan dan kepala di gadis. Mereka berdua tampak memahami antara satu sama lain, tetapi mereka seakan-akan mahu membataskan hubungan intim; lagi-lagi kepala si gadis lentok pada bahu si lelaki. Mereka menjadikan smart phone sebagai pemisah. 

Ini cukup menyedihkan.

"But I got a reason to declaim
The applications are to blame

For all my sorrow and my pain
A feeling so alone"

Saya kaitan application sebagai dalang dalam  kejadian-kejadian yang menyakitkan ini. Segalanya lebih mudah dengan aplikasi hatta mencari kiblat pun, kita tak perlu pandai lihat bintang dan matahari terbenam. Kalau dahulu bila kita mahu skyping, kita harus membuka komputer atau laptop. Tapi sekarang, segala-galanya lebih mudah. Di telefon bimbit, kita ada segala-galanya. Lupakan Yahoo Messenger. Ia telah pun pergi mencari dunia sebenarnya. 

Segalanya lebih mudah kalau semua pandai guna kemudahan yang sedia ada dengan fikiran yang waras.

Suatu hari saya minum di Central Market (CM). Saya lihat di hadapan meja saya ada sekumpulan lelaki, perempuan, pelbagai bangsa sedang minum-minum juga. Ada yang sedang tekun berinteraksi dengan smart phone masing-masing. Tapi mereka tak ada mengeluarkan suara. Saya cuba buat-buat ke kaunter untuk bayar bil. Saya jeling ke arah smart phone salah satu kumpulan yang duduk di depan meja saya tadi, mereka sedang buat video call, dan berkomunikasi dengan bahasa tangan. 

Friday, 3 July 2015

kekasihku, lekaslah pulang

sejengkal demi sejengkal
menjangkau hasta dan depa
gelora kasih didepani,
di belakang, rasa percaya
sedang bertepuk tangan,
antara jarak dan waktu.

                   kita beradu;
          memisahkan pilu
        dan dendam rindu.

sunyi hadir ketika kita
leka berpelukan 
bingit berahi punah
lepa di pandangan.

puisi terbit dari lidah,
bergenang dalam ludah
kita yang bercampuran 
dan tak sudah-sudah
merayu didakapkan
dengan doa-doa di lelangit.

kekasihku, lekaslah pulang. 

Thursday, 2 July 2015

Surah At-Tin Ada Tinggalkan Kebenaran

kebenaran 
tak boleh menghancurkan
timun kebathilan 
kalau penguatkuasa berada
di arah yang salah,
kepentingan yang bernilai uang
waktu terbuang
tanpa pengadilan, naik-turun
mahkamah dengan jalan cerita
yang mengasyikkan, tapi pengakhiran
berkuku setan.

Min Soo padamkan roh
miliknya di rel kereta api,
sepotong nyawa lagi satu
mati dalam pergelutan
dalam ritual menaikkan
bendera kebenaran.

Dia tewas di mata hakim
tapi juara di mata maha hakim.

Surah At-Tin ada tinggalkan
kebenaran.